Pada 11 Zulhijjah 1407 yakni 6 ogos 1987 seorang bayi dilahirkan. Alhamdulillah cukup segala sifatnya. Tapi malang menimpa apabila beberapa minggu selepas itu bayi tersebut asyik menangis siang malam. Tentunya ini meresahkan ibubapanya kerana bayi itu asyik menangis tak henti-henti. Lalu, mereka bertekad untuk membawanya ke sebuah klinik di pekan Parit dan bertemu dengan doktor. Doktor tersebut bernama Dr. Jamal. Namun, kini dia sudah arwah. Jadi, ibubapa dan kedua datuk dan opah membawa bayi tersebut untuk pemeriksaan. Setelah beberapa ketika, doktor tidak dapat meneruskan rawatan. Doktor menyuruh mereka untuk pergi ke Hospital Changkat Melintang untuk pemeriksaan lanjut disebabkan tiada kemudahan rawatan di klinik tersebut. Datuk bayi tersebut mula menengking.
“Aku nak ubat, bukan nak surat!!” katanya sebaik doktor itu memberi sepucuk surat untuk lanjutan perubatan di hospital tersebut.
Namun ibu bayi tersebut mengambil jalan berdiplomasi dengan doktor tersebut memandangkan dilihatnya seperti ada sesuatu yang tidak kena.
“Doktor, apa sebenarnya penyakit anak saya?”
“ Baiklah, saya syak anak puan ada penyakit paru-paru. Paru-parunya berair. Itulah sebab dia menangis tidak henti. Saya harap puan pujuklah bapa puan untuk pergi ke Hospital Changkat Melintang.”
Bayi tersebut dikatakan menghidap peparu berair. Dengan tanpa berlengah lagi, mereka pun berangkat ke sana. Datuk bayi itu pun mengikut tanpa banyak soal. Tapi datuk sebelah ibu itu terpaksa pulang untuk mengambil anak bongsunya balik dari sekolah. Kemudian , beliau meminta jasa baik datuk sebelah bapa untuk menghantar menantunya dan bayi bersama-sama dengan opah untuk ke hospital. Kerana waktu itu, hanya datuk sebelah bapa saja yang ada kereta. Datuk sebelah bapa setuju sementara datuk sebelah ibu pun pulang untuk mengambil acu.
Sesampainya di hospital tersebut, mereka diduga lagi. Kemudahan di situ pun tidak dapat memberikan rawatan kepada bayi tersebut. Pihak hospital menyarankan mereka membuat rawatan di Hospital Ipoh.
Bayi tersebut makin kuat menangis dan adakalanya wajahnya kebiruan akibat asyik menangis. Pihak hospital memaklumkan akan memberi kemudahan ambulans untuk ke Hospital Ipoh kerana keadaannya makin kritikal. Lalu datuk sebelah bapa tadi pun pulang ke rumah datuk sebelah ibu untuk menyatakan perkara tersebut. Beliau menyuruhnya menyiapkan pakaian untuk si ibu dan bayi tersebut bagi digunakan di Hospital Ipoh. Kemungkinan ditahan di situ mungkin lama. Oh ya, jarak rumah datuk sebelah bapa dan sebelah ibu tidaklah jauh. Kampung Paloh dan Kampung Tg Dedalu jaraknya lebih kurang 3 kilometer sahaja.
Ambulans kepunyaan Hospital Changkat Melintang juga mengambil masa untuk pulang kerana hanya terdapat satu saja ambulans masa itu. Bayangkan kesusahan masa itu sekalian. Sementara itu, ibu dan opah mengikut ke Hospital Ipoh menaiki ambulans. Datuk pula akan menyusul kemudian menaiki kereta. Oh ya, bapa kepada bayi tersebut ada di Kuala Lumpur ketika itu kerana bertugas.
Setelah sampai di Hospital Ipoh, bayi tersebut terus diberikan rawatan kecemasan. Tiub makanan terpaksa dimasukkan ke dalam hidung kerana mulut tidak boleh menggunakan fungsinya. Bayi itu banyak kali disuntik. Jika tidak cukup di tangan, kemudian akan disuntik di bahagian lain sehinggalah dapat memasukkan cecair ubat ke dalam badan. Si ibu dan opah bergilir-gilir menjaga bayi. Kadangkala apabila bayi menangis, opah terpaksa memanggil ibu dalam tandas untuk menenteramkan mereka.
Mereka juga diberi kemudahan istimewa. Jika orang lain tidak dibenarkan menunggu di hospital sebaliknya mereka dibolehkan menunggu terutamanya opah. Sehinggakan orang di sebelah katil pun mempersoalkan tindakan pihak doktor tersebut. Apa boleh buat. Doktor tersebut yang berbangsa India berwajah seperti D.J Dave menyukai pesakitnya ini kerana kebolehan si ibu berbahasa Inggeris dengan baik. Yelah, dah cikgu Bahasa Inggeris. Mungkin sebab itu, kakitangan hospital menyukai pesakitnya ini.
Opah yang setia menemani diberikan kebenaran untuk pulang kerana beliau kelihatan penat apabila terpaksa tidur di hospital setiap hari oleh si ibu tetapi opah menolak kerana sayangkan cucu dan anaknya itu. Kedua dua datuk dan bapa juga sering melawat di hospital.
Setelah 2 minggu, penyakit paru-paru berair itu pun sembuh. Syukur Alhamdulillah. Mereka semuanya dibenarkan pulang dan ketika mereka keluar dari hospital itu, mereka berasa seperti baru dilahirkan ke dunia dek kerana terlalu lama berada di hospital. Segalanya terang dan luas.
Itulah antara dugaan awal aku. Dan juga kisah orang-orang yang telah menemani aku. Mak Yang juga telah menjaga aku sepanjang di Gombak. Agak lama juga. Namun, dia sabar dengan kerenah aku dan abang aku sepanjang di situ. Yang lucunya, Mak Yang pernah dikunci di dapur oleh abang aku. Ketika itu, aku masih kecil lagi. Sekitar umur 2 tahun agaknya. Di dapur rumah kampong ada pintu yang boleh dikunci. Abang aku nakal sangat sampai dikuncinya mak saudara aku dalam dapur tu. Lama juga lah terkunci. Nasib baik ibubapa cepat balik. Itulah jela cerita aku.
Jika ada peluang untuk aku balas budi mereka semua ini yang setia menemani dan menjaga aku, akan aku hadiahkan segunung intan dan permata tapi apakan daya aku tak berdaya. Aku cuma berharap ada sesuatu yang dapat aku sumbangkan pada mereka nanti selagi mata belum tertutup. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment